Beruntung sungguh menjadi seorang Muslim.
Setiap gerak tingkah sentiasa ada pedomannya. Walau perkara yang amat kecil
jika dipandang, namun hati tetap senang dengan setiap landasan yang diberikan.
Islam agama yang menyentuh keseluruhan kehidupan.
Rukun Iman yang enam sudah kita ketahui dan
perlu diyakinkan. Menarik untuk perkara yang keenam iaitu percaya kepada Qada
dan Qadar atau dengan kata lain percaya kepada apa yang Allah tentukan.
Hidup memang ada cabaran. Terutamanya kepada
orang yang beriman. Pasti akan diuji.
Firman Allah SWT:
“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan
dibiarkan dengan hanya berkata “kami beriman”, sedang mereka tidak diuji
(dengan sesuatu cubaan)?” [Surah al-Ankabut, Ayat ke-2]
Ini adalah sunnatullah; ketetapan Allah yang
perlu diterima. Walau bagaimanapun, seseorang yang diuji sepatutnya perlu tabah
dengan sebarang ujian. Kemiskinan, kekayaan, kesakitan, kehilangan harta benda,
kematian dan sebagainya kerana Allah lebih berhak terhadap diri kita. Semua
adalah pinjaman.
Yakinlah kita bahawa Allah Maha Mengetahui dan
Maha Penyayang. Semestinya Dia tidak akan membebankan hamba-Nya dengan ujian
yang tidak mampu dipikul oleh hamba-Nya. Pasti tidak! Tuhan yang Maha
Mengetahui tahap keimanan kita dan kesanggupan yang ada pada kita, pasti
menguji dengan tahap yang sesuai dengan Iman masing-masing.
Firman Allah:
“Allah tidak membebani seseorang melainkan
sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang
diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya.
(Mereka berdoa): “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa
atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban
yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya
Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami
memikulnya. Beri maaflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah
Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir.” [Surah
al-Baqarah, Ayat ke-286]
Kembalilah kita tersenyum dan tabah dengan
ujian. Memang benar, lidah berbicara petah belum tentu sendi bergerak lincah.
Mungkin penulis sedikit kurang untuk indah berbahasa, namun keyakinan penulis
tetap pada kalamullah yang tiada setara indahnya bahasa. Bukakanlah selaput
kelabu di hati, agar kunang-kunang singgah ke mari, sinar cahaya kan kembali
lagi.
Wallahua’lam.
- Artikel iuvislam.com
Tidak ada komentar:
Posting Komentar