Sabtu, 31 Agustus 2013

Kasih Ilahi

Usai kerja untuk hari itu. Siti Khadijah menarik nafas lega. Dia masih baru di syarikat itu. Tatkala diterima berkerja di situ, dia segera mengucapkan syukur. Terasa masih baru meninggalkan syarikat itu setelah beberapa bulan selesai menjalani latihan industri di situ, kini dia melangkah kembali sebagai seorang pekerja pula. Ketika masih ramai rakan yang belum mempunyai pekerjaan, Siti Khadijah sudah mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan bidang yang dipelajarinya. Dia sangat bersyukur di atas nikmat rezeki itu.
Setelah hampir sebulan di situ, Siti Khadijah disapa Zayid, salah seorang pekerja di pejabatnya. Siti Khadijah tidak pernah menyapa Zayid ketika menjalani latihan industri dahulu. Menurut rakan sekerjanya, Zayid belajar di dalam bidang yang sama seperti Siti Khadijah. Siti Khadijah hanya mendiamkan diri. Tidak pula dia berminat untuk bertanyakan lebih tentang hal itu.
Jam sudah menunjukkan 5.35 petang. Dia bergegas mengunci pintu pejabatnya dan menuju ke surau. Ahh..masih belum Asar. Langkah kaki dihayun sepanjang- panjangnya. Tidak dipedulikan keadaan manusia di sekelilingnya. Dia menekan butang lift. Di dalam fikirannya hanya membayangkan tingkat 5, destinasi yang ingin ditujuinya .
Setibanya di sana, dia segera berwuduk dan menunaikan solat. Siti Khadijah sentiasa mencuba sebaik mungkin untuk solat di awal waktu namun adakalanya terlewat juga. Mujurlah, majikannya seorang Muslim yang prihatin tentang solat. Senang rasanya hati Siti Khadijah untuk bekerja di situ.
Ketika ingin pulang ke rumah, Siti Khadijah berpapasan dengan sahabat lamanya semasa di universiti. Amna namanya. Sejuk sungguh mata Siti Khadijah melihatkan penampilan Amna yang menutup aurat. Cantik sekali. Adakala tercetus perasaan iri melihat betapa tawaduknya Amna menutup aurat. Tidak seperti dirinya yang masih terkial- kial mengenakan pakaian yang labuh dan longgar .
Hanya sebentar perbualan mereka pada petang itu. Amna mengejar masa kerana dia ingin menghadiri program Usrah . Siti Khadijah termangu di situ sendirian.
Duhai diri.. betapa luasnya jurang antara dirimu dan Amna.
Dulu, Siti Khadijah biasa- biasa sahaja orangnya. Sekelumit pun dia tidak peduli tentang menutup aurat. Walaupun orangnya biasa- biasa sahaja namun dia sentiasa bertudung. Pernah ketika usianya belasan tahun dahulu dia ditegur emak apabila sepupu lelakinya bertandang ke rumah namun dia tidak menutup kepalanya dengan tudung. Rentetan itu, dia memandang berat keperluan untuk menutup kepala namun bahagian aurat yang lain masih juga terbuka. Siti Khadijah masih belum mengerti makna menutup aurat ketika itu.
Bertahun lamanya Siti Khadijah begitu. Seiring hari berlalu, dia melihat terlalu ramai kenalan di sekelilingnya mulai berubah mendekati Allah.  Dia terdetik ingin tahu. Hati Siti Khadijah sendiri terasa terlalu jauh daripada ketenangan sebenar. Meskipun agamanya Islam namun Siti Khadijah bukan seorang muslim yang patuh sepenuhnya kepada perintah Allah SWT. Masih terlalu banyak kekurangan pada dirinya yang mesti diperbaiki. Baginya, memenuhi amalan wajib seperti berpuasa, dan solat sudah mencukupi. Itu sudah membuatkan dirinya layak bergelar seorang Islam.
Bahkan tidak.. Siti Khadijah masih terlalu dangkal di dalam beragama. Dirinya masih terlalu jauh daripada mengecapi manisnya iman.
Siti Khadijah sentiasa berimpian untuk  menjadi seperti Amna. Baginya, Amna sempurna dalam beragama. Pernah disuarakan perasaan irinya melihatkan tawaduknya Amna menjaga batas-batas syariat namun Amna hanya tertawa kecil mendengarkan itu.
“Manusia hanya dibezakan dengan taqwa kepada Allah SWT. Amna pun tak sempurna, apa yang Khadijah nampak hanya dari satu sisi diri Amna je. Amna pun masih berusaha untuk membaiki diri. Sejujurnya Amna kagum dengan Khadijah. Khadijah sangat istiqamah dan tabah. Amna tahu, saat Khadijah buat keputusan nak berhijrah dulu, keputusan tu tak mudah. Namun, Amna bersyukur  tengok Khadijah sekarang. Sepatutnya Amna yang iri dengan Khadijah tau, bukan Khadijah iri dengan Amna .”
allah, love, ukhwah, iluvislam
Hatinya dihambat rasa sebak dek kata-kata Amna. Terasa malu menaruh rasa iri kepada Amna. Siti Khadijah tunduk meneleku lantai. Dia cuba untuk menahan air matanya daripada gugur. Sungguh kata-kata Amna ada kebenarannya. Tidak mudah keadaannya apabila dia membuat keputusan untuk berhijrah dahulu. Mujahadahnya pahit namun segalanya berbaloi kini. Siti Khadijah sangat merasai nikmat kemanisan setelah berhijrah.
Siti Khadijah masih teringatkan ejekan rakannya tika dia mula menjinakkan diri dengan sarung kaki, tika dia mula melabuhkan tudungnya. Mereka berkata Siti Khadijah mencuba untuk menjadi ustazah. Tika itu Siti Khadijah masih terkial-kial mencari pakaian yang sesuai untuk menutupi auratnya dan kebarangkalian cara berpakaiannya tidak kena pada pandangan mereka. Sesekali Siti Khadijah jauh hati juga dengan kata-kata mereka namun dia tetapkan hati.
Bukan kerana mereka Siti Khadijah menutup aurat!
Siti Khadijah mengesat air mata yang mulai bertakung di tubir matanya.
“ Ukhuwah fillah ya ukhti,” tutur Amna sambil memeluk Siti Khadijah. Air mata Siti Khadijah kian mengalir deras. Kristal jernih itu tidak mampu ditahan lagi. Tersedu-sedu Siti Khadijah menangis di dalam pelukan Amna.
ukhwah, iluvislam, hijrah
Siti Khadijah sentiasa tulus berdoa, semoga Allah SWT sentiasa melorongkannya ke jalan yang lurus. Seiring doa, Allah mudahkan jalannya. Digantikan pula rakan- rakan lama dengan sahabat- sahabat baru yang sentiasa mendorongnya untuk lebih taat kepada Allah SWT. Mudah rasanya hidup bersyariat.
Dia seperti berada di puncak kebebasan walaupun mata manusia yang memandang muslimah sepertinya ibarat terpenjara dek arus fesyen dunia. Terlalu kolot! Mungkin pada pandangan mereka menutupi aurat dengan berpakaian labuh dan longgar sudah sepatutnya ditinggalkan jauh namun hanya hati yang merasai manisnya iman tidak berpandangan sedemikian. Biarlah bertutup sempurna, hakikatnya hati terasa damai di dalam dakapan redha Allah SWT.
Mei 2013…
Saat Siti Khadijah mahu melangkah pulang dari tempat kerjanya, kedengaran namanya disahut daripada belakang.
Siti Khadijah menoleh ke arah suara itu.
“Oh kau Zayid. Ada apa panggil aku?”
Kelihatan Zayid tercungap- cungap menahan nafas. Penat benar lakunya Si Zayid menyaingi langkah Siti Khadijah.
“ Tak ada benda serius pun. Aku nak kau baca ni. Ambil la baca dulu,” ujar Zayid sambil menyuakan risalah itu kepada Siti Khadijah.
“ Risalah apa ni Zayid?” Kehairanan Siti Khadijah. Risalah kini bertukar tangan.
“ Kau baca la ye. Aku balik office dulu,” tergesa- gesa Zayid melangkah pergi tanpa sempat menerangkan apakah isi kandungan risalah itu  kepadanya.
Termangu-mangu Siti Khadijah. Hasrat untuk pulang kini terbantut.
Risalah yang sudah bertukar tangan dipandangnya lesu.
Siti Khadijah menyelak helaian demi helaian. Terlalu banyak risalah mengenai parti-parti politik yang bertanding di pilihan raya hadir menjengah saat ini. Masing-masing cuba mengangkat bahawa merekalah yang paling gah menjuangkan nasib bangsa dan agama dengan slogan yang pelbagai namun hakikatnya sesetengah daripada mereka hanya indah khabar dari rupa sahaja. Semakin dibaca semakin Siti Khadijah merasakan ada yang tidak kena pada risalah itu. Risalah itu ditutup cermat. Segera, matanya mencari Zayid. Dia ingin memulangkan risalah itu kepada Zayid kembali.
“Nah risalah ni Zayid. Tak nak la aku baca dah,” ujar Siti Khadijah sambil tangannya menghulurkan kembali risalah itu kepada Zayid.
Risalah itu kembali bertukar tangan.
“ Mana kau dapat risalah ni?” soal Siti Khadijah ingin tahu.
“ Aku dapat risalah ni masa sembahyang Jumaat tadi. Saja nak bagi kau baca. Nak tahu apa reaksi kau,” Zayid menerangkan.
“ Selamanya aku pilih Islam, Zayid,” tutur Siti Khadijah cuba menamatkan bicara.
“ Alhamdulillah,” Zayid melafazkan syukur tika mendengarkan butir bicara Siti Khadijah itu.
Zayid memandang kosong melihat Siti Khadijah melangkah pergi. Mukanya diraup perlahan. Saat itu, detik hatinya hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui.
“ Siti Khadijah..bukan aku insan terbaik untuk menjadi pengemudi bahteramu  namun ya Allah, jika benar dia untukku, semoga dimudahkan segalanya”

[PenulisDhiahanum] [Editor : Mohd Kasim]

Berfikiran Positif Dan Optimis


Dunia seakan-akan gelap. Seolah-olah tiada lagi cahaya yang menyuluh. Apakah ini pengakhiran yang kita maukan?
Kejayaan adalah memaksimumkan potensi kita untuk merealisasikan matlamat utama kita dalam perjalanan hidup. Semua insan pernah gagal. Kerana gagal adalah guru.

Apabila kita berusaha untuk mencapai sesuatu, kita berjaya kerana kita tahu cara untuk mencapai matlamat kita. 
Bijak pandai pernah berkata, “Sama ada kita menjadi abu atau menjadi seekor merak, ia terpulang pada diri kita sendiri.”
Sebenarnya, hidup kita bukan sekadar bergantung pada setiap apa yang berlaku pada kita dan sekeliling, tetapi ia lebih kepada bagaimana kita memberi tindak balas terhadap apa yang berlaku.
Sayangi diri.
Buatlah sesuatu demi kebaikannya dan yang memberi manfaat buatnya.
Ia bukan bermakna pergi spa 30 hari sebulan, tetapi lebih dari itu.

Kisah Guru Dan Murid
Seorang guru pernah bertanya pada anak muridnya, “Adakah kamu semua menyayangi diri sendiri?”
Dan para murid menjawab, “Ya! Kami sayang diri kami!”
Ujar guru itu, “Bagaimana cara kamu semua menyayangi diri sendiri?”
“Belajar sungguh-sungguh!”
“Jaga hati!”
“Pakai topi keledar!”
Maka kata si guru,
“Benar. Tetapi ia lebih dari itu. Terimalah diri kamu, tiada manusia yang sempurna. Hormatlah maruah kamu, ia tidak pernah meminta untuk diragut melainkan kamu yang membiarkannya. Berikan galakan kepada diri kamu, galakan orang lain tidak cukup buatmu. Rancangkan kejayaan buat diri kamu, jangan biar diri kamu gagal kerana kegagalan yang diterima.”
Boleh menangis, menyesal, menjerit sekuat mungkin kerana meratapi kegagalan yang diterima. Tetapi pada esok hari, kamu harus bangun tidur dengan segar dan hilangkan segala kesedihan.
Kenapa?
Kerana berabad-abad sekalipun tangisan dan kekecewaan ia tidak akan merubah apa-apa. Ambil separuh untuk dijadikan iktibar dan ambil separuh untuk dijadikan pendorong.

Kisah Lelaki dan Jadual Penerbangannya
Seorang lelaki mengejar penerbangannya, saat tiba di lapangan terbang, penerbangannya terpaksa dilewatkan kerana kerosakan pada bahagian tertentu. Tetapi dia tidak marah. Katanya, “Bagus!”
Maka orang di sekelilingnya hairan. Bukankah sepatutnya lelaki itu marah.
“Mereka mengambil berat akan keselamatan kita. Bukankah ia bagus?”
“Tetapi.. sukarlah untuk kita mendapatkan penerbangan berikutnya. Kerana kita terpaksa menunggu dengan begitu lama. Sedangkan sekarang kita sedang mengejar masa!”
“Bagus!”
Dan orang di sekelilingnya bertambah hairan.
“Kenapa bagus?”.
“Kerana saya dan semua orang dapat bersantai-santai terlebih dahulu. Cuaca di luar sana sangat tidak menyenangkan. Sedangkan kita di sini berada dalam keadaan nyaman dan selesa. Terdapat beberapa buah kusyen empuk di hujung kaunter. Terdapat makanan dan kopi panas di kafeteria. Jadi saya akan memanfaatkan peluang ini, kerana saya sering tidak cukup masa selama ini. Sekarang saya dapat membaca majalah kegemaran saya terlebih dahulu.”
Dan orang sekelilingnya merasa kagum dengan lelaki itu. Seraya berkata, “Hebat!”
Itulah dia. Tabiatnya yang positif akan mempengaruhi kelakuan, kata-kata dan pastinya keputusan. Ia memberitahu dunia bahawa sikap positif penting dalam kehidupan. Apa sekali pun tujuan kita, fikir positif. Sentiasa positif dan optimis!
Saya tertarik dengan kata-kata Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari yang terdapat dalam sebuah buku motivasi “Menuju Kejayaan.”
“Saya ini kata orang Kedah, lebai kodok bukan lebai pondok. Tapi saya tahu hal-hal asas. Kalau mahu, saya terus minta dari Tuhan. Tuhan beri manusia akal dan fikiran. Kalau hendak pakai baju biarlah padan dengan badan. Jangan jadikan agama hanya satu tempat untuk kita bergantung apabila kita susah.”
- Artikel iluvislam.com 

Mulia Memaafkan & Menahan Marah


“Tidaklah sedekah itu mengurangi harta, dan tidaklah Allah menambah bagi seorang hamba dengan sifat memaafkan kecuali kemuliaan, serta tidaklah seorang hamba merendahkan diri karena Allah melainkan Allah meninggikan darjatnya.” (Hadis Riwayat Muslim)“Orang yang paling sabar diantara kamu ialah orang yang memaafkan kesalahan orang lain padahal dia berkuasa untuk membalasnya.” (Hadis Riwayat Ibnu Abiduyya dan Baihaqi)
Nabi s.a.w. bersabda, “Tidaklah seorang itu suka memaafkan, melainkan dia akan semakin mulia.” (Hadis Riwayat Muslim)Allah SWT berfirman, “Dan bersegeralah kamu kepada ampunan Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa, iaitu orang-orang yang menafkahkan hartanya di waktu senang mahupun di waktu sempit, dan orang-orang yang menahan marah dan memaafkan kesalahan orang. Allah suka kepada orang yang berbuat kebajikan.” (Surah Ali Imran : 133-134)Nabi s.a.w. pernah bersabda: “Dilaporkan kepada Allah semua perbuatan manusia pada setiap hari Khamis dan Isnin, lalu Allah ‘Azza Wa Jalla mengampuninya pada hari itu juga, diampunkan setiap orang yang tidak syirik (menyengutukan) sesuatu dengan-Nya, kecuali sesiapa yang sedang bermusuhan, iaitu Allah berfirman untuknya: Tinggalkanlah (jangan dihapus dosa) kedua-dua (orang yang bersengketa) ini, sehingga mereka berdua berdamai, tinggalkanlah (jangan dihapus dosa) kedua-dua (orang yang bersengketa) ini, sehingga mereka berdua berdamai.” (Hadis Riwayat Muslim)“Dan jika kalian memaafkan dan tidak memarahi serta mengampuni (mereka) maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah At-Taghobun : 14)“Dan hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu, tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan ingatlah Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Nuur : 22)
- Artikel iluvislam.com